Tuesday, March 8, 2011

ISTERI YANG BERKERJA

 

Salam..saya nak tanya,seorang lelaki merisik saya dengan syarat saya tidak boleh bekerja bila tamat belajar nanti..apa pendapat akhi?
(Husnaizzati)


WAALAIKUMMUSSALAM
OLEH
SUBI HARON

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

“Allah s.w.t berfirman kepada para malaikat yang diserahkan kepada mereka urusan rezeki Anak Adam“Mana-mana hamba yang kamu dapati yang cita-citanya hanya satu (iaitu semata-mata untuk akhirat), jaminlah rezekinya di langit dan di bumi. Dan mana-mana hamba yang kamu dapati mencari rezekinya dengan jujur kerana berhati-hati mencari keadilan, berilah dia rezeki yang baik dan mudahkanlah ia baginya. Dan jika ia telah melampaui batas kepada selain itu, biarkanlah dia sendiri mengusahakan apa yang dikehenndakinya. Kemudian dia tidak akan mencapai lebih dari apa yang telah Aku tetapkan untuknya”
(Hadis qudsi riwayat Abu Naim dari Abu Hurairah r.a)

Sukanya saya berkongsi serta menghebahkan salah satu petikan dari hadis Rasulullah s.a.w bersabda:

ما أكل أحد طعاما قط خيرا من أن يأكل من عمل يده
"Tiada seorang pun yang makan lebih baik dari orang yang
makan hasil dari tangannya sendiri"
(Hadis riwayat Bukhari)

Islam membenarkan seorang wanita atau isteri untuk keluar berkerja sekiranya bersedia mengikuti dan mematuhi kehendak dalam syariat Islam selagi tidak melanggar apa yang ditegah di dalam Islam.


للرجال نصيب مما اكتسبوا وللنساء نصيب مما اكتسبن

"Bagi lelaki bahagian yang ia usahakan dan bagi wanita bahagian yang ia usahakan"
( Surah An-Nisa , ayat 32 )

SYARAT YANG PERLU DI PATUHI JIKA
ISTERI INGIN BERKERJA

1.KERJAYA ITU ADALAH HALAL

Suatu pekerjaan yang dilakukan itu adalah halal. Maksudnya pekerjaan itu tidak haram serta tidak menimbulkan fitnah, syubhat, khalwat, penipuan, seks, peras ugut, terpaksa mendedahkan aurat, riba dan sebagainya.
“Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap orang Islam”
(Hadis riwayat Ibnu Abdul Barr)

Rasullah s.a.w juga telah bersabda:

“Setiap daging yang tumbuh dari harta yang haram,
maka api neraka lebih utama untuknya”
(Hadis riwayat Tarmizi)

2.MENJAGA ADAB SEBAGAI MUSLIMAH

Menjaga adab sebagai seorang muslimah sejati seperti etika berpakaian yang menutup aurat sebetulnya yang dituntut di dalam Islam, menjaga tingkah laku perbuatan, percakapan, dan pergaulan.

Beberapa orang perempuan dari Bani Tamim masuk ke rumah Aisyah dengan pakaian yang sangat nipis, Kemuadian Aisyah berkata: Kalau kamu seorang mukmin, maka ini bukan pakaian perempuan mukmin“
(Hadis riwayat Thabrani dan lain-lain)

3.TIDAK LUPA TANGGUNGJAWAB

Pekerjaan yang dilakukan itu tidak mengabaikan tanggungjawab dan kewajipan lain kepada suaminya dan anak-anaknya.


“Jika suami memanggil isterinya untuk tidur bersama serta merta isterinya menolak sehingga semalaman itu suaminya marah kepadanya, para malaikat mengutuk isteri itu sehingga pagi hari”
(Hadis riwayat bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a)

4.SESUAI DENGAN FITRAHNYA

Pekerjaan yang dilakukan itu sesuai dengan fitrah dan kemampuan fizikal yang ditanggung oleh seorang wanita selagi tidak menjejaskan diri sendiri dan keluarganya.

5.MENDAPAT KEIZINAN

Dalam hal ini isteri perlulah mendapat keizinan dari suami.


ATAS SEBAB KEPERLUAN APAKAH
SAYA SEBAGAI ISTERI PERGI KELUAR BERKERJA

1.Telah bercerai , telah kematian suami atau suami dalam keuzuran tidak mampu lagi berkerja sehingga perlunya mencari nafkah untuk menyara kehidupan dan membeli keperluan hidup untuk diri sendiri dan anak-anak. Lebih teruk lagi jika berlaku penceraian bekas suami tidak lagi memberi nafkah kepada anak-anaknya sehingga berlakunya penganiayaan kepada anak-anak.

2.Berniat ikhlas dan rela hati membantu suami dalam menjaga kedudukan ekonomi rumahtangga sebagai contoh sekiranya berlaku kemelesetan kewangan mungkin anda boleh membantu suami dengan meminjamkan wang kepadanya atau sebaliknya daripada suami terpaksa meminjam wang kepada ceti haram (along) yang akhirnya tercetus hura hara hidup kerana berhutang.

3.Pendapatan suami mencukupi setiap bulan hanya untuk menyara dirinya, isterinya dan anak-anaknya serta segala isi keperluan hidup rumah. Keadaan ini tidak memberi peluang anda mengirim belanja kepada ibu bapa yang telah uzur dan tidak lagi mampu lagi berkerja. Berkemungkinan juga anda mempunyai ramai adik-beradik yang masih ramai lagi bersekolah yang mungkin bergantung harap ihsan dari kiriman belanja dari anda.

4.Sekiranya anda mempunyai kelulusan dan kemahiran yang jarang dimiliki oleh orang ramai sehingga kemahiran anda itu sangat-sangat ditagih dan diperlukan oleh masyarakat umum untuk mencurahkan bakti dan tenaga kepakaran yang sangat bermanfaat.

5.Suami tidak mampu membantu membayar hutang bulanan wang pinjaman pendidikan anda ketika anda menuntut di universiti atau sebagainya yang mungkin mencapai angka puluhan ribu ringgit sehinggakan anda memilih jalan untuk berkerja sebagai pintu jalan terbaik untuk melunaskan hutang pinjaman pendidikan tersebut.

“Yang terbaik dari kamu semua ialah yang terbaik cara membayar hutangnya”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

KERJA SEBAGAI SYARAT
(Petikan Daripada Keputusan Majlis Fiqh Sedunia dalam persidangan yang ke-16 bertempat di Dubai pada 9-14 April 2005)
Seorang isteri dibenarkan untuk meletakkan syarat pada akad perkahwinannya bahawa ia hendaklah dibenarkan bekerja, apabila suami redha dengan syarat itu, ia menjadi kemestian baginya untuk membenarkan (setelah kahwin). Syarat itu hendaklah dinyatakan secara jelas ketika akad.Suami pula harus meminta isteri meninggalkan kerjayanya walaupun sebelum ini ia membenarkannya, iaitu sekiranya meninggalkan pekerjaan itu dibuat atas tujuan kepentingan keluarga dan anak-anak.

SAYA TELAH DIRISIK TETAPI DENGAN SYARAT SELEPAS
TAMAT BELAJAR SAYA TIDAK DIBENARKAN BERKERJA

Saya yakin saudari kini keliru dengan keputusan dan apakah tindakan yang perlu difikir dan diputuskan nanti selepas mendengar kenyataan dari pihak yang merisik kepada saudari.

“Tidak akan kecewa bagi orang yang melaksanakan solat istikharah, dan tidak akan menyesal bagi orang yang suka bermusyawarah dan tidak akan kekurangan bagi orang yang suka berhemat”
(Hadis riwayat Thabrani)

Solat istikharah adalah satu cara yang paling terbaik bagi memilih dan menentukan sesuatu perkara dan ini telah dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w sebelum membuat keputusan. Insyallah jika diberi petunjuk dari Nya terpulang kepada saudari samaada untuk berkerja atau sebaliknya. Dari andaian saya juga “Selepas tamat belajar saya tidak dibenarkan berkerja” mungkin membawa erti “Setelah menjadi isteri yang sah kepada suami, saya perlu menjadi suri rumah sepenuh masa”. Namun hal ini juga solat istikharah perlu dilakukan oleh saudari untuk memperolehi kepastian dan penentuan samaada lelaki yang bakal meminangi saudari samaada sesuai atau sebaliknya. Inilah cara yang sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan. Disamping berikhtiar dan berusaha berdoa memohon petunjuk dariNya.



AWAS DENGAN CINTA SISWA SISWI DI UNIVERSITI
ANTARA CINTA DAN CITA-CITA

Saya ucapkan tahniah kepada sesiapa sahaja yang berjaya melanjutkan pelajaran di universiti. Pastinya kita hadir ke sini untuk mengejar cita-cita menggenggam segulung ijazah dan ingin mengajak seluruh ahli keluarga kita untuk menyaksikan hari bersejarah konvokesyen. Dan saya yakin ada diantara kita diuji dengan datangnya cinta yang mampu mengganggu cita-cita tadi. Jika kita di diuniversiti bermakna kita telah berjauhan dari ibu bapa dan ahli keluarga. Cinta yang tidak di duga telah datang kini menggugat cita-cita. Jika ingin berkahwin ketika belajar di universiti mungkin ada yang melarang dahulu supaya perlu menghabiskan pengajian baru diizinkan untuk berkahwin. Yang mana perlu diutamakan di universiti, cinta dahulu atau cita-cita. Jika bibit percintaan bermula dari tahun pertama hingga tahun akhir di universiti , mampukah iman kita membenteng diri dari melakukan perkara yang terlarang?Apa yang perlu dilakukan ialah ingat mengingati sesama kita supaya jangan jadikan mahkamah syariah Islam atau balai polis sebagai tempat konvokesyen kita kerana gara-gara mengejar cinta.

Usamah bin Zaid r.a dari Rasulullah s.a.w bersabda
“Tiada kutinggalkan sesudah matiku suatu fitnah (ujian) yang lebih berbahaya bagi lelaki dari fitnah perempuan”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



MARI KITA RENUNGI DAN BERFIKIR SEJENAK TENTANG
KISAH LEBAH MADU

"Lebah ni adalah satu makhluk yang taat dan mengikut jalan peraturan Allah, lebah jantan adalah lebah perkerja manakal lebah betina atau ratu hanya tinggal di sarang dan bertelur. Ketaatan kepada jalan peraturan Allah dan mengikut fitrah ni menyebabkan cairan yg dihasilkan sangat bermanfaat. Sifat lebah yang mengikut fitrah ini disamakan dengan sifat orang-orang yang mukmin."

N3 ni ibu ambik kat blog subiharon...kat blog ni penuh dengan ilmu, ibu just nak kongsi bersama rakan blog, tak salahkan berkongsi ilmu...ibu dah mintak izin dah dengan tuan punya blog, kan ustaz?...jomlah sama-sama kita g cari ilmu kat sana...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...